Khidmat Negara
MBM bantah cadangan wujud Kor Setia Negara
KUALA LUMPUR, Isnin: Majlis Belia Malaysia (MBM) membantah cadangan penubuhan
Kor Setia Negara (KSN) bagi menggantikan pasukan beruniform di peringkat sekolah
rendah.
Setiausaha Agung, Norizan Sharif, berkata cadangan penubuhan KSN tidak wajar dan
menidakkan sumbangan pasukan beruniform dalam usaha menyemai sikap kepemimpinan
dan disiplin di kalangan pelajar.
Katanya, pihaknya bersetuju jika penubuhan KSN dijadikan program tambahan
pasukan beruniform bagi memantapkan pembentukan disiplin dan semangat patriotik
di kalangan pelajar.
“MBM faham cadangan penubuhan KSN untuk mengatasi masalah disiplin dan nilai
patriotik tetapi ia sepatutnya tidak boleh menggantikan pasukan beruniform sedia
ada.
“Kita bukan menentang penubuhan KSN tetapi tidak bersetuju jika ia
menggantikan pasukan beruniform.
“Cadangan itu adalah langkah terkebelakang. Kita sepatutnya mengenal pasti
kelemahan pasukan beruniform dan mengambil langkah membaikinya tetapi bukan
menutupnya terus,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MBM, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai cadangan Jawatankuasa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
penubuhan KSN itu sebagai Praprogram Khidmat Negara.
Khamis lalu, jurucakap jawatankuasa itu, yang juga Naib Canselor Universiti
Utara Malaysia (UUM), Datuk Dr Ahmad Fawzi Mohd Basri, dilaporkan berkata kertas
kerja mengenai KSN akan dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan dalam tempoh
terdekat, untuk dibincangkan bersama Jawatankuasa Kabinet Program Khidmat
Negara.
Melali pasukan beruniform itu, pelajar dikatakan akan lebih bersedia dari segi
mental dan fizikal selain memahami tujuan penyertaan mereka dalam Program
Khidmat Negara.
Jika cadangan itu dipersetujui Kementerian Pendidikan, KSN boleh dilancarkan
serentak dengan Program Khidmat Negara pada awal 2004 dan menjadi sebahagian
daripada agenda negara dalam integrasi kaum.
Norizan berkata, tindakan menubuhkan KSN menggantikan pasukan beruniform sedia
ada menyebabkan pelajar tidak mempunyai peluang memilih pasukan kokurikulum yang
diminati mereka.
“Kita bimbang cadangan itu menyebabkan pelajar berasa dikongkong dan dipaksa
menyertai aktiviti tanpa berpeluang memilih.
“Cadangan itu juga bertentangan dengan sifat dan cita rasa remaja yang berbeza,
selain menyebabkan kurangnya pemimpin yang diasuh melalui aktiviti kokurikulum
berikutan hanya wujud satu pasukan,” katanya.
Katanya, penubuhan KSN juga tidak menjamin boleh menyelesaikan masalah pelajar
atau meningkatkan nilai patriotik dan disiplin pelajar.
Majlis Eidul Fitr 1423H Angkatan Belia Islam Malaysia
28 Disember 2002
11.00 pagi - 3.00 petang
Kompleks Dar Al-Hikmah
Sg Ramal Dalam
Kajang, Selangor Darul Ehsan
Saudara/i dijemput hadir majlis di atas.
Related: program
khidmat negara, latihan
khidmat negara, khidmat
negara 2004,
jabatan
khidmat negara